Selasa, 28 Oktober 2008

Tabiat buruk.

" Apa? Tabiat burukku?" Aku memberikan senyuman sinis lalu menyedut air Coke yang sedap itu. Elynn, Sheila dan Suhana mengangguk-angguk kepala mereka dengan ghairah lalu menjingkitkan tubuh mereka mendekati aku. Tiga pasang mata yang bulat-bulat memandang aku seolah-olah ingin menerkam diriku. Aku perlahan-lahan menghembuskan nafasku lalu mengeleng-gelengkan kepala memikirkan tentang betapa anehnya kelakuan sahabat-sahabat baruku. Suka sangat menjaga tepi kain orang dan menyoal perkara yang pelik-pelik seperti warna baju apakah yang paling aku tidak suka pakai ketika tidur, sama ada aku suka menari di atas katil dan sekarang pula, tabiatku yang paling buruk.

" Hmmm..., tabiat aku yang paling buruk adalah memuntahkan semula makanan yang baru sahaja aku makan," aku berkata dengan tenang lalu menghincutkan bahuku seperti ia bukanlah sesuatu tabiat yang aneh.

" Apa???" Ketiga-tiga kawanku yang pelik itu menjerit kerana terperanjat dengan pendedahan aku. Malu aku dibuatnya sebentar kerana tiba-tiba, semua orang di katin itu memandang ke arah aku.

" Aku mengerutkan dahi aku kerana bingung dengan reaksi mereka. Kenapa Elynn, Sheila dan Suhana terperanjat? Buruk sangatkah tabiat aku? Lebih buruk daripada orang yang suka makan tahi hidung atau ambil dadah? Dahulu di sekolah lamaku, memuntahkan semula makanan yang baru dimakan adalah perkara yang lazim. Ramai pelajar di sekolah lamaku melakukannya untuk mendapatkan tubuh yang langsing dan menawan.

" Ifa, kau tahu tidak bahawa tabiat buruk kau itu dipanggil bulimia?"
" Tabiat itu tidak sihat!"
" Kau harus hentikan kerana jikalau tidak, kau boleh matilah."

Aku hanya menguap kebosanan mendengar amaran mereka. Dah mual aku mendengar kata-kata yang sama. Mereka ini berlagak seperti aku ini bodoh sangat kerana tidak tahu apa akibatnya. Aneh sekali sudah tiga tahun aku melakukannya dan tak mati-mati pun. Kalau aku tidak buat begini, takkanlah aku boleh bertubuh cantik dan takkanlah mereka ingin berkawan dengan gadis gemuk. Seperti teman-teman lamaku di sekolah dahulu, kami tidak hiraukan nasihat-nasihat yang basi utu. Bak kata pepatah, masuk telinga kanan dan keluar telingi kiri. Dengarkan ajalah untuk sedapkan hati mereka.

Keesokan harinya, aku dan teman-teman baruku telah pergi ke rumah Elynn untuk mengadakan sebuah pesta kecil. Pesta ini diadakan setahun sekali antara kami sahaja. Eksklusif dan bukan sebarang orang boleh ke pesta ini. Hanya yang popular, cantik dan bergaya sahaja yang boleh menghadirinya. Begitulah yang diterangkan oleh Elynn. Aku ikut sahaja asalkan aku dapat diterima. Ternyata rumah Elynn sangat sesuai untuk diadakan pesta sebegini kerana rmahnya yang besar dan gah serta bilik tidurnya yang menjadi idaman setiap gadis remaja. Walau bagaimanapun, aku rasa biliknya tidaklah sehebat bilik aku kerana bilik aku besar dan ada balkoni lagi. Kamar Elynn pun terbuka lalu mendedahkan pelbagai hidangan yang lazat-lazat di tengah-tengah kamarnya.

" Wah!" Aku terpegun dengan kek cawan yang bertingkat-tingkat, gula-gula kapas, gula-gula pudina, pancutan coklat dengan pelbagai jenis buah-buahan dan biskut mengelilinginya. Air Coke berbotol-botol dan Ya, Allah! Ayam goreng. Banyak lagilah bagaikan sebuah syurga. Aku sungguh teransang lalu tidak sabar untuk menikmati makanan yang lazat-lazat itu. Bagaikan orang dirasuk, aku menerkam segala apa yang ada untuk disumbatkan ke dalam mulut ini.

Seperti yang aku jangkakan, Elynn, Sheila dan Suhana terpaku melihat gelagat gelojoh aku. Mereka tidak sangka bahawa aku ini sebenarnya orang yang kuat makan. Aku tidak hiraukan mereka kerana bagi aku, yang penting adalah makan, makan dan makan. Nikmat sungguh rasanya coklat di lidah ini. Tiba-tiba, aku terasa mual dan kesal kerana makan terlalu banyak. Aku pun meminta diri untuk ke tandas tetapi dilarang oleh Sheila. Orang-orang ini betul aneh kerana hendak ke tandas pun tidak boleh. Suhana berdiri di depan tandas dengan kedua belah tangannya tercekak di pinggang.

" Tidak boleh Ifa. Aku tahu engkau hendak muntahkan semua makanan tadi," larang Suhana dengan tegas.

Elynn juga bergerak ke hadapan aku lalu berkata, " Tabiat engkau itu harus dihentikan."

Aku berdegil lalu menolak Elynn tetapi Sheila menarik tangan aku lalu mendudukkan aku di tepi katil. " Ifa, kau tau tidak yang jikalau engkau teruskan tabiat buruk engkau itu, kesihatan kau akan terjejas dan keselematan diri kau akan terancam."

Nampaknya mereka bersungguh-sungguh melarang aku. " Aku tidak akan matilah. Apa kamu semua merepek?"

Elynn menjawab, " Kami ada lihat tentang masalah bulimia dalam rancangan Tyra Banks. Ia merbahaya dan kami rasa engkau tidak perlu berbuat begitu."

Aku menguap. " Yalah kalau aku nak gemuk. Eh, tabiat aku ini perkara biasalah sebab ramai remaja yang buat."

" Dan ramai yang mati. Kalau kau masih berdegil, kita bertiga akan laporkan tabiat buruk engkau ini kepada pihak sekolah dan kami tidak mahu berkawan dengan engkau lagi," gertak Sheila.

Aku mengeluh. Hendak tak nak, aku terpaksa setuju dengan mereka dan berjanji tidak akan meneruskan tabiat buruk aku. Semenjak hari itu, ke mana sahaja aku pergi tidak keseorangan. Mereka mengawal pemakanan aku dan juga memastikan yang aku tidak ke tandas untuk memuntahkan apa yang aku telah makan.

Tidak aku sangka yang dua bulan kemudian, tabiat buruk aku hilang begitu sahaja dan aku kini lebih rasa sihat dan bermaya. Aneh tetapi aku rasa aku harus berterima kasih kepada ketiga-tiga teman baruku itu kerana mereka telah berjaya mengubah kehidupan aku.
Qurrah Shumar
3E2

Rabu, 15 Oktober 2008

Filem kegemaran

Zakiyah Binti Zainal
Blok 890 Ang Mo Kio Ave 5
#07-1234
Singapura 540890

7 September 2008

Kepada sahabatku,
Alin yang disayangi.

Saudari,

Apa khabar? Bagaimana keadaan kamu sekeluarga di Malaysia? Adakah percutian kamu ini menyeronokkan? Saya di sini baik-baik sahaja. Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada kamu sekeluarga. Walaupun saya sekeluarga sibuk menyambut lebaran, kamu sentiasa di dalam ingatan.

Pada Hari Raya yang kedua, saluran Suria telah menayangkan sebuah filem, Pendekar Bujang Lapuk. Cerita itu sungguh lucu hinggakan kami sekeluarga ketawa tak terhenti-henti. Filem itu dibintangi oleh P. Ramlee, Aziz Satar dan S. Samsudin. Filem itu tentang tiga orang sahabat yang telah terserempak seorang pakcik yang handal dalam bidang silat. Ketiga-tiga sahabat itu pun mengikuti pakcik itu pulang kerana ingin belajar silat.

Apabila tiba di rumah pakcik itu, mereka pun bertanya sama ada mereka boleh belajar silat atau tidak. Pakcik itu bersetuju mengajarkan mereka bersilat. Tetapi mereka harus membaca jampi yang disebutkan oleh pakcik itu. Apabila disuruh ulang bacaan jampi itu, pelbagai perkataan yang merepek keluar daripada mulut mereka kerana mereka bertiga ini buta huruf. Jadi, pakcik itu pun menyuruh mereka mengikuti sekolah buta huruf. Apabila mereka sudah pandai baca jampi, ketiga-tiga sahabat itu pun pergi bertapa di tiga buah tempat; tanah perkuburan, rumah kosong dan sebuah perigi buta. Di situlah gelagat mereka semakin menggelikan hati apabila mereka dihadapkan dengan cubaan.

Alin, dalam filem Pendekar Bujang lapuk itu saya amat meminati watak P.Ramlee. Ini kerana dia kacak, gagah dan senang memikat hati perempuan. Saya berasa bangga apabila mengetahui bahawa masyarakat Melayu mempunyai ikon seni terunggul iaitu P.Ramlee.

Sehingga di sini sahaja saya ceritakan kepada kamu tentang filem kegemaran saya. Saya harap kamu akan berpeluang menonton filem Pendekar Bujang Lapuk.

Yang tulus,
Zakiyah.

Nurfarahin
2N3

Kisah cinta di Bali.



Angin yang sejuk bertiup sepoi-sepoi bahasa mengusik helaian rambut si cantik manis itu. Di kota Bali,
aku temui seorang jelitawan yang bernama Nurul. Tugasnya di sana adalah menyambut tamu yang datang menginap di Hotel Nirma.

Walaupun aku telah menjumpai banyak gadis-gadis anggun di sana, fikiran ini tetap melayang ke Nurul, gadis yang tercantik yang pernah aku lihat dan kagumi. Setiap malam, wajahnya yang ayu, cantik dan berseri bermain-main di fikiran dan pandanganku. Aku mulai sedar yang sebenarnya aku sudah jatuh cinta pada pandangan pertama. Sejak dari saat itu, aku mula datang ke tempat kerjanya untuk berbual dengannya. Sakit kerinduan terubat dengan senyuman manisnya dan juga suara manjanya sebagai penawar hati.

Tiga bulan sudah berlalu dan perhubungan kami semakin erat. Aku membuat keputusan untuk melamar pujaan hatiku, Nurul. Keesokan harinya, keluargaku dan rombongan kami datang ke rumah Nurul untuk melamarnya. Sayang seribu sayang, lamaranku ditolak bulat-bulat kerana aku ialah anak seorang pemandu teksi. Kami sekeluarga pulang dengan penuh rasa hampa dan kecewa.

Pada mulanya, aku dan Nurul bertekad ingin kahwin lari sahaja kerana tidak lera cinta kami dihalang. Kami berjani bertemu di pantai Kuta tepat jam dua belas malam untuk menaiki bot haram ke Singapura atau mana sahaja asalkan kami boleh bersama. Tetapi sudah dua jam aku menunggu, Nurul tidak muncul-muncul juga. Aku cuba menelefon dia tetapi telefon bimbitnya tidak aktif. Aku tunggu lagi selama tiga jam dan akhirnya aku mendapat panggilan daripada ibuku yang mengakatakan bapaku berada di rumah sakit kerana dia diserang sakit jantung. Dengan segera, aku bergegas ke rumah sakit. setibanya di sana, bapaku mengatakan beberapa patah perkataan sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. dia berpesan agar aku mesti menjadi seorang usahawan dan jangan pernah memilih nasib sepertinya.

Tiga tahun berlalu dan aku mendapat tawaran menjadi pereka kemeja. Fikiranku berdetik yang tawaran itu adalah tawaran baik dan peluang keemasan ini tidak akan datang dua kali. Aku pun menerimanya. Di syarikat itu, majikanku amat baik orangnya. Dia seorang wanita yang agak beberapa tahum lebih tua daripadanya. Namanya Nur dan aku panggilnya, Puan Nur. dalam diam-diam dia mula jatuh cinta kepada aku. Setelah aku menyedari perasaannya, aku pun menjalinkan perhubungan dengannya tetapi susah bagiku melafazkan cinta kepadanya. Umur bukan halangan tetapi hatiku masih cinta pada Nurul. Berkat kerja keras aku dan sokongan Puan Nur, akhirnya aku berjaya menjadi seorang usahawan termahsyur. Syarikat kemeja aku bukan sahaja terkenal di nusantara ini tetapi sudah mula menembusi pasaran Pulau Maldives.

Suatu hari, ada seseorang yang datang mengetuk pintu rumahku. Aku terperanjat apabila mata ini bertatapan semula dengan wajah kesayangan hati iaitu Nurul. Dia tercegat di depan aku meminta aku melamarnya kerana dia tidak rela dikahwinkan dengan seorang tua yang bernama Masut. Aku memintanya memberiku waktu untuk berfikir. Setelah dua minggu, aku akhirnya membuat keputusan teguh untuk mengahwini Puan Nur dan bukan Nurul. Setelah mendirikan mahligai bersama Puan Nur, hidup kami berubah seratus lapan puluh darjah. rezeki melimpah-limpah dam kami berdua menjadi kaya raya sementara keluarga Nurul dibelenggu pelbagai masalah.

Yusoff
2N2

Baik buruknya aktiviti perkhemahan sekolah.

Semenjak tahun lalu, banyak sekolah menengah di Singapura mengadakan perkhemahan sekolah dengan tujuan mengajar para murid untuk merasakan hidup berdikari dari awak lagi. Aktiviti perkhemahan sekolah ini sering diadakan ketika cuti sekolah. Jadi, apakah baik buruknya aktiviti perkhemahan sedemikian?

Perkara baik daripada aktiviti perkhemahan sekolah adalah para murid diajarkan berbagai cara untuk menguruskan diri sendiri, memasak dan juga mencuci pakaian atau barang-barang kepunyaan sendiri. Misalannya di zaman kini, ramai rumah mempunyai amah atau pembantu rumah yang digajikan untuk mengurus keperluan harian setiap anak-anak. Jadi dengan adanya perkhemahan begini, maka anak-anak itu diberi peluang untuk bertanggungjawab melakukan tugasan seharian tanpa bantuan orang dewasa. Kadang-kadang, perkhemahan ini juga ada diterapkan sesi melindungi diri seperti mengajarkan seni silat dasar agar pelajar dapat mempertahankan diri di masa kesulitan. Para murid juga dipisahkan daripada kelompok yang mereka sudah biasa bekerja sama dan dilatih bekerja dengan kawan-kawan yang lain untuk memperluaskan persahabatan dan pemikiran mereka. Contohnya, secara kelompok mereka harus memasak makanan mereka sendiri dengan bahan-bahan dan peralatan yang terbatas. Aktiviti sebegini hanya bisa dijalankan jika pelatih dan guru mempunyai pengalaman yang luas dan berkualiti.

Namun, segala sesuatu yang kita buat tentu ada juga buruknya. Hal ini berlaku juga pada aktiviti perkhemahan sekolah. Jika guru-guru dan pelatih luar tidak mempunyai pengalaman dalam aktiviti yang diadakan, mereka boleh membahayakan nyawa para murid. Lebih-lebih lagi jika kurang pengalaman untuk meneka sebarang keburukan yang bakal terjadi dan kurangnya rasa tanggungjawab yang tinggi. Contohnya; jika guru menginginkan para murid belajar memasak sendiri, mereka patut memastikan barang yang digunakan itu selamat dan pelajar harus menitikberatkan piawai keselamatan. Jika jumlah guru yang menjaga dan mendisiplinkan pelajar kurang, para murid yang nakal pasti akan melanggar syarat keselamatan kerana terlalu asyik bermain. Ini pasti akan mengakibatkan hal-hal yang lebih buruk terjadi. Selain itu, pergaulan bebas antara pelajar lelaki dan perempuan juga harus diketengahkan pada para pelajar agar musibah kepada maruah diri tidak terjadi. Siapa yang mahu hanya nila setitik, rosak susu sebelanga? Perlakuan kurang elok pasti tidak sahaja mencemarkan nama keluarga, malah nama baik sekolah.

Kesimpulannya daripada apa yang saya kemukakan, aktiviti perkhemahan ini hanya akan menjadi satu aktiviti pendidikan diri yang berkesan sekiranya guru memainkan peranan penting dalam menjayakan aktiviti tersebut. Sebuah institusi pendidikan tidak akan berjaya tanpa dedikasi guru sebagai pendidik.

Jhonson
2N1

Selasa, 14 Oktober 2008

Sambutan Hari Raya Aidilfitri.





"Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada Warna 94.2!" ucapan ceria berbunyi di corong radio aku dengan terang lalu diikuti dengan lagu Hari Raya yang dinyanyikan oleh Sharifah Aini. Keluarga aku sudah pun bersiap dan menunggu bapaku pulang dari masjid. Aku terus mandi secepat mungkin kerana bapaku paling pantang jikalau ada orang yang terlewat bangun atau terhegeh-hegeh membersihkan diri pada pagi Syawal yang mulia itu. Adikki yang kecil, Farizah, sedang sibuk menolonh kemas bilik. Sangat susah untuk mendapatkan adik yang rajin dan baik hati seperti dia.

Selepas itu, aku bersiap dengan berpakaian baju kurung untuk menunggu kehadiran bapaku. Tiba-tiba ada panggilan daripada kawan bapaku iaitu Encik Samad. Encik Samad mengkhabarkan bahawa bapaku telah dilanggar oleh sebuah kereta semasa dia hendak menyeberang jalan. Dia juga menyampaikan maklumat bahawa dia telah menelefon ambulan untuk membawa bapaku ke Hospital Tan Tock Seng. Alangkah terperanjatnya kami mendengar khabar buruk itu, bagaikan jantung kami hampir terhenti. Ibu terus menarik aku dan adikku mengejar bapa di rumah sakit dengan teksi.

Sesudah sampai di situ, kita mencari bilik ayah bagaikan sang semut yang sesat mencari jalan pulang. Di sebuah wad, ternampak bapaku terlentang di atas katil menantikan ketibaan kami. Anehnya, dia tersengeh apabila melihat wajah kami yang pucat bagaikan mayat kerana bimbang akan dia. Bapa dengan selamba berkata yang dia tidak rasa sakit sangat setelah dilanggar. Tambahnya lagi yang keadaannya tidak serius cuma ada luka sedikit di bahagian kiri pipinya, lengan dan kaki.

Dua hari kemudian, bapaku sudah boleh keluar dari hospital dan menyambut Hari Raya. Kami pergi ke rumah datuk dan nenekku dahulu. Nenek bertanya mengapa kita tidak melawatnya pada hari raya pertama; dia menunggu kami seharian dengan lepat dan rendang sekuali. Aku pun memberitahunya yang bukan kita tidak mahu pergi ke rumahnya tetapi bapa ada di hospital kerana ditimpa kemalangan kecil. Nenek terperanjat apabila terdengar yang bapa telah dilanggar kereta. Dia hampir sahaja marah kerana tiada seorang pun yang telah memaklumkannya tentang kemalangan itu. Aku pun menjelaskan bahawa kami sekeluarga tidak memberitahunya kerana kami tidak mahu orang tahu sebab nanti semua orang pasti akan bimbangkan bapa dan tidak beraya. Nenek tersenyum terharu sehingga terselak gigi emas di celah bibir merah sentil.

Apabila keluargaku sudah menziarah rumah pakcik dan makcikku dan kocek baju kurung ini sudah sarat dengan wang, kawan-kawan sekolah aku dan Farizah datang ke rumah kami. Ibu pun memasakkan mereka makanan untuk dijamu bersama. Kawan-kawan aku suka dengan masakan ibuku sehingga mereka menambah beberapa kali dan menjilat jari mereka. Kemudian kami bermain permainan 'playstation' sampai pukul 6 petang. Apabila mereka sedar yang senja sudah tiba, mereka bergegas pulang ke rumah sebelum azan maghrib berkumandang. Aku ketawa apabila capal Idris tersangkut di pintu rumahku lalu membuatnya terjatuh apabila dia sedang dalam keadaan kelam kabut. Walaupun hari pertamanya menyedihkan kerana bapa ditimpa kemalangan, Aidilfitri tetap mulia dan ceria selepas itu. Selamat Hari Raya!

Nur Farisah
2N2

Ahad, 5 Oktober 2008

Pentingnya keupayaan berkomunikasi dalam dua bahasa.

Tajuk: Pentingnya berkomunikasi dalam dua bahasa.
Tempat: Di McDonald, Bishan Junction 8.
Waktu: 3 petang
Watak: Ani dan Ina (pelajar Politeknik)


Ani dan Ina adalah pelajar di Politeknik Temasek. Mereka ke restoran makanan segera, McDonald, yang terletak di Bishan Junction 8 untuk membincangkan tentang tugasan mereka yang telah diberikan oleh pensyarah mereka. Tugasan yang diberikan adalah tentang identiti Singapura. Mereka harus mencari maklumat tentang identiti Singapura daripada pelbagai aspek secara mendalam.

Ani: (sambil mengigit hujung pena) Berapa agaknya aspek yang diperlukan?
Ina: Saya rasa ada empat aspek.

Ani: Apakah keempat-empat aspek yang diingini itu?
Ina: Hmmmm...empat aspek itu ialah makanan, bahasa, perayaan dan tradisi.

Ani: Jadi, mana satu yang ingin kita buat dulu?
Ina: Saya rasa kita buat tentang bahasa dahulu kerana tentang bahasa amat senang
daripada aspek-aspek yang lain.

Ani: (matanya melirik ke arah papan menu) Baik tetapi kita bincangkan selepas kita
makan tengah hari kerana saya belum sempat makan sejak pagi tadi.
Ina: (bingkas dari tempat duduknya) Baiklah. Mari kita pesan makanan.

Ani dan Ina beratur untuk memesan makanan di McDonalg. Mereka makan tengah hari sambil merehatkan minda mereka yang telah ditumpukan pada pelajaran selama setengah hri itu. Selepas makan tengah hari, mereka pun memulakan perbincangan tugasan mereka.

Ani: Kita mulakan tugas kita dengan merangka peta minda, ya?
Ina: Ya.

Ani: Kita ingin buat bahasa yang mana satu? Bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin atau
Tamil?
Ina: Apa kata kita bincangkan mengenai bahasa Inggeris dan Melayu dahulu?
Ani: (lalu menulis di kertas)Baiklah.

Ina: Ani, saya ingin tanya satu soalan mengenai bahasa di Singapura ini kerana saya
sejak kecil tidak tinggal di sini.
Ani: Apakah yang awak mahu tanya?

Ina: Mengapa di negara ini, setiap pelajar wajib menguasai dua bahasa?
Ani: Baiklah, biar saya jelaskan. Pelajar harus belajar bahasa Inggeris supaya semua
orang yang terdiri daripada berbilang kaum dapat berkomunikasi dengan baik.
Justeru, bahasa Inggeris merupakan bahasa perantaraan di zaman moden kini.
Ina: Tetapi, saya masih tidak faham apa kena mengena komunikasi dengan bahasa
Inggeris?

Ina sebenarnya adalah seorang pelajar Indonesia yang menetap di Singapura untuk melanjutkan pelajarannyta. Ina masih tidak faham kerana di Indonesia, semua rakyatnya tanpa mengira apa bangsa dan agama berkomunikasi menggunakan bahasa Indonesia dan tidak bahasa Inggeris.

Ani: Bangsa di Singapura berbilang dan untuk meneratkan perhubungan berbilang kaum
dan mengelakkan tanggapan berat sebelah, bahasa Inggeris telah dipilih sebagai
bahasa berkomunikasi. Pemilihan ini dibuat agar tiada bangsa lain yang terasa
dikhianati atau disisirkan di Singapura. Lagi pun, bahasa Inggeris juga
merupakan bahasa perantaraan dan perdagangan di dalam dunia ini.
Ina: Ohhhh! Barulah saya mengerti mengapa kerajaan Singapura menyuruh pelajar-pelajar
mempelajari bahasa Inggeris. Saya masukkan maklumat yang awak terangkan tadi ke
dalam peta minda kita ini.

Ani: Namun begitu, kita juga tidak harus lupakan bahasa ibunda kita.
Ina: Apa itu bahasa ibunda?
Ani: Bahasa ibunda kita ialah bahasa Melayu bagi orang Melayu, Mandarin bagi bangsa
Cina dan Tamil bagi bangsa India.

Ina: Oh...mengapa?
Ani: Walaupun kita diharuskan belajar bahasa Inggeris, kita juga harus belajar
bahasa Melayu akan menunjukkan yang kita adalah seseorang Melayu yang tidak
lupakan asal-usulnya.

Ina: (terkebil-kebil) Saya tidak faham. Tolong jelaskan dengan lebih lanjut.
Ani: (menarik nafas lalu menghembuskannya perlahan-lahan) Bahasa Melayu adalah
bahasa etnik dan bahasa etnik atau ibunda ini amat mustahak dalam memupuk jati
diri seseorang.

Ina: (masih keliru) Memupuk jati diri seseorang?
Ani: Bahasa etnik akan mengajarkan kita tentang kebudayaan dan kesusasteraan bangsa
kita sendiri. Ini jelas sekali kerana semua kitab-kitab budaya dan sastera
ditulis dalam bahasa ibunda kita sendiri oleh orang-orang dahulu. Lagi satu,
bahasa etnik juga dapat menyumbang kepada dunia perdagangan.

Ina: Apa pula kena-mengena bahasa etnik dengan urusan bisnes?
Ani: Pekerja yang mahir dalam bahasa ibundanya dan bahasa Inggeris ada banyak peluang
yang terbuka untuknya. Contohnya, di sebuah syarikat yang bukan sahaja
mempunyai ramai pelanggan tetapi juga pelanggan yang terdiri daripada pelbagai
latar belakang. Si penjual pasti akan dapat meraih keuntungan jika dia dapat
mempromosikan barangnya kepada pelanggan yang boleh berbahasa Inggeris dan
pelanggan yang hanya boleh berbahasa etnik. Dengan itu, dia dapat meraih lebih
banyak keuntunga.

Ina agak terpegun dengan kebijaksanaan Ani. Walaupun Ina bijak dalam akademik tetapi Ani kelihatan amat luas pemikirannya dan pintar menebak situasi akan datang.

Ani: Lagi satu, bahasa etnik ini juga menunjukkan identiti seseorang itu apabila dia
bertutur dalam bahasanya. Ini menjadi kebanggaan seseorang itu sebagai penerus
warisan bangsanya.
Ina: Barulah saya faham tentang mengapa Singapura meletakkan undang-undang kepada
pelajar untuk belajar bahasa Inggeris dan bahasa ibunda mereka sendiri.

Ani: Awak juga harus tahu bahawa bahasa etnik tidak dipandang ringan dan merupakan
antara kriteria untuk masuk ke universiti.
Ina: (mengangguk kepalanya) Marilah kita habiskan peta minda kita ini. Saya rasa
satu aspek sahaja sudah amat mengayakan ilmu pengetahuan saya.

Dua orang sahabat itu pun menghabiskan peta minda mereka tentang peranan bahasa di Singapura sebelum lanjut ke aspek-aspek yang lain.

Rozianah Kambali
3E2