Rabu, 14 Julai 2010

Pilihan yang baik.

Yahoo! Aku berasa sangat lega dan dadaku terasa lapang setelah habisnya peperiksaan Matematik.Tinggal lagi dua ujian iaitu ujian Bahasa Melayu dan Seni. Mata pelajaran itu tidaklah begitu sukar dan aku yakin yang aku akan dapat melakukannya. Aku pun mengambil keputusan untuk cabut sekolah esok kerana ujian Bahasa Melayu dan Seni akan berlangsung pada hari Jumaat. Lagipun, esok waktu sekolah agak lama. Sampai pukul 3 petang, lebih baik aku tenangkan minda dengan mengunjungi kedai permainan LAN. Aku pun memanggil kawan-kawan aku dan kami berbincang agar semua yang ingin kami lakukan esok berjalan lancar.
Pada keesokan harinya, aku pun menunggu teman-temandi kolong blok. Mereka mengambil masa selama lima belas minit untuk tiba kerana mereka terbangun lambat. Ini semua gara-gara semalam khusyuk bermain permainan siber hingga lewat malam. Kami pun menaiki bas untuk ke kedai yang selalu kami kunjungi. Setibanya di sana, alangkah terperanjatnya kami apabila ternampak dua orang pegawai polis berdiri tegak di hadapan pintu masuk kedai. Kami pun ingin cabut lari kerana kami tahu yang kami telah melakukan kesalahan. Malangnya kami terlambat. Pegawai polis itu sempat mengcekut tengkuk kami lalu lami diheret ke satu sudut. Polis itu menanyakan mengapa kami tidak memakai seragam sekolah dan tidak berasa di sekolah. Kami hanya diam membisu dan berpeluh tanpa henti.
Kemudiannya, kami dihumbankan ke dalam kereta polis dan dipandu ke sekolah kami yang berdekatan. Dalam kereta, kawan-kawan aku semua menuduh aku sebagai dalang dalam kejadian ini. Yalah, kalau ada silap pastilah aku yang disalahkan biarpun mereka pun bersetuju untuk pergi bersama. Kami bertiga berasa malu sekali dan kami tidak tahu bagaimana untuk melepaskan diri kami apabila berdiri di hadapan pengetua. Pengetua dan guru disiplin mengarahkan kami ke kelas. Setibanya di kelas, guru aku terperanjat. Telinga aku habis dibelasah dengan kata-kata marah seperti tidak menghiraukan mata pelajaran Bahasa Melayu dan hanya memalukan diri sendiri sahaja. Kawan-kawan yang lain asyik mengelakkan aku. Aku dan kawan-kawan yang lain disuruh berdiri di belakang kelas. Ketika itu, aku betul-betul berasa amat kecewa dengan diri aku.
Selepas selesai kelas, aku dan yang lain diarahkan ke pejabat. Ibu bapa kami telah dihubungi. Ibu bapa aku yang tidak pernah-pernah menerima panggilan dari pihak sekolah juga ada di situ dengan wajah kecewa. Kalaulah aku tidak ponteng sekolah dan membuat pilihan yang baik, aku pasti yang aku tidak akan berdiri di sini sekarang.
Abdul Hakim
2N1

Ahad, 17 Januari 2010

Menyaksikan persembahan seni.

Lega hati ini setelah dapat menyelesaikan projek bahasa Melayu yang bertajuk " Budayaku, hidupku". Saya amat bersyukur kerana telah diberikan peluang untuk mempelajari budaya orang Melayu kita dari negara lain menerusi projek ini. Bukannya selalu saya mendapat peluang sebegini, bisik hati saya apabila menerima projek ini pada tempoh hari.

Dua minggu yang lalu, beberapa orang pelajar termasuklah saya telah dipiluh untuk menyaksikan sebuah persembahan aneka tari dari negara Malaysia. Persembahan ini telah diadakan di Stadium Tertutup Singapura. Kumpulan tari Seni warisan telah mengadakan pengembaraan termasuk persembahan tarian di sekeliling Asia pada tahun ini. Sewaktu memasuki stadium tersebut, selepas sejam menaiki bas yang ditempah oleh sekolah, hati saya berdebar dan tidak sabar rasanya untuk duduk di tempat yang telah disediakan. Ini merupakan kali pertama saya menyaksikan abara yang sungguh gah dan berprestij.

Acara tersebut bermula pada jam 8 malam. Stadium itu dipenuhi dengan ramai penonton berbilang kaum. Warga Cina dan India juga tidak mahu ketinggalan menyaksikan persembahan malam itu. Pada malam itu, persembahan tarian telah dikhususkan kepada tiga jenis tarian Melayu. Ketiga-tiganya ialah tarian Zapin, tarian Ronggeng dan tarian Randai.

Tarian zapin menjadi persembahan pertama pada malam itu. Tarian tersebut mempunyai pelbagai pergerakan kaki yang rancak dengan diikuti hayunan tangan. Perkara lain yang menangkap perhatian saya adalah penglibatan kaum lelaki yang makin menyemarakkan persembahan. Saya ada terbaca dalam penyelidikan saya bahawa tarian zapin ini direka khususnya buat kaum lelaki dan ia sebenarnya berasal dari tanah Arab. Pergerakan tarian ini juga bertahap-tahap. Ia bermula dengan perlahan dan lama-kelamaan, pergerakan semakin laju mengikut alunan muzik yang semakin rancak.

Seterusnya, mereka mempersembahkan tarian ronggeng. Tarian ini dipersembahkan sepenuhnya oleh kaum wanita. dibandingkan dengan tarian yang sebelumnya, tarian ini mempunyai pergerakan yang lebih pantas dan penarinya tidak melompat-lompat bagaikan penari tarian zapin. Tarian ronggeng juga mempunyai tempo lagu yang rancak. Pada pendapat saya, untuk melakukan tarian ini dengan baik, banyak latihan dan persiapan yang harus dilakukan.

Akhirnya, sebelum persembahan tersebut berakhir, mereka mempersembahkan tarian randai. Randai tidak begitu berbeza dengan tarian-tarian yang lain. Tarian ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Tarian randai adalah tarian yang digabungkan dengan pergerakan silat. Ini bermakna pergerakan tarian ini tangkas dan cekap. Pada pendapat saya, tarian randai ini adalah tarian yang terunik dan istimewa jikalau hendak dibandingkan dengan tarian-tarian yang lain.

Selepas acara tersebut, saya cuba mendapatkan rumusan dan pandangan ahli-ahli kumpulan saya yang telah menyaksikan persembahan tadi. Ada yang berkata bahawa aktiviti itu hanya membuang masa kerana persembahan tarian itu membosankan. Ada pula yang sampai tertidur sewaktu acara itu berlangsung. Walaubagaimanapun, ada juga dalam kalangan kami yang berkongsi keriangan dan kebanggaan yang sama seperti saya kerana diberi peluang menyaksikan persembahan seni yang mengayakan pengetahuan kami. Ini menunjukkan bahawa setiap individu mempunyai pemahaman dan persepsi yang berbeza seperti kata pepatah, rambut sama hitam hati lain-lain.

Saya berharap agar peluang sebegini akan diadakan lagi untuk pelajar-pelajar selanjutnya. Saya percaya ia akan memanfaatkan pendidikan mereka dan yang paling penting sekali, mengeratkan jati diri mereka terhadap budaya dan tradisi Melayu kita. Justeru itu, pelajar-pelajar harus didedahkan kepada persembahan-persembahan sebegini.

Jaffer
5N1