Khamis, 23 April 2009

Surat Sahabat Pena: Aktiviti Ko-Kurikulum

















Ida Anafi
14 Jalan Teluk Blangah rise
Singapura 876014

31 Mac 2009

Kepada sahabat terbaikku,
Saudari Jessica Prahn.

Apa khabar, Jessica? Sudah satu minggu saya tidak membalas surat kiriman saudari. Saya agak sibuklah dengan aktiviti ko-kurikulum di sekolah saya. Saya telah pun menukar aktiviti ko-kurikulum saya. Kamu hendak tahu apa?

Saya masuk pasukan pancaragam sekolahlah. Saya main alat muzik yang dipanggil 'French Horn'. Ia adalah sangat menarik. Saya suka bermain alat muzik ini. Baru-baru ini, saya telah pun selesai satu pertandingan peringkat nasional iaitu Singapore Youth Festival atau SYF. Sekolah saya mendapat gangsa. Ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa kerja sama semua anggota. Lebih-lebih lagi, kami mengambil masa hanya tiga bulan untuk berlatih. Sekarang saudari fahamkan mengapa saya terlambat membalas warkah saudari. Disebabkan latihan setiap hari untuk seminggu itu telah membuat saya terlalu letih tetapi semakin bersemangat untuk memenangi pertandingan itu. Saudari tahu, semangat saya begitu kental sehinggakan di rumah pun saya bermain alat muzik itu kepada adik saya yang setia mendengar. Pada mulanya agak sumbang tetapi lama-lama, merdu jugalah. Melalui aktiviti ko-kurikulum ini, saya mulai sedar yanhg saya sebenarnya minat bermain muzik. Saudari, saya ada suatu kejutan untuk saudari. Kejutan hari jadi. Saudari putarkanlah pita rakaman yang saya hantarkan bersama surat ini. Selamat hari jadi yang ke 14 tahun, saudari dan semoga terhibur dengan kejutan itu.

Baiklah saudari, sampai di sini sahaja ya. Saya harus berlatih bermain lagi kerana tidak lama lagi, kami akan ada satu persembahan di sekolah. Saudari jaga diri baik-baik ya dan jangan lupa balas surat saya.

Salam sayang,
Ida Anafi.

Siti Nurulhuda
2E1
____________________________________________________


Ida Anafi
14 Jalan Teluk Blangah Rise
Singapura 876014

30 Mac 2009

Kepada sahabat penaku,
Jessica Prahn.

Hai, apa khabar gadis manis dari Thailand? Bagaimana keadaan Thailand? Saya ada terbaca di akhbar tentang kekacauan pilitik di ibu kota Thailand. Saya harap semuanya sudah dapat diselesaikan dan Jessica sekeluarga berada di dalam keadaan yang sihat walafiat. Terasa rindu kerana lama tidak menulis surat kepada awak. Kali ini, saya ingin bercerita sedikit tentang aktiviti ko-kurikulum saya.

Saya telah menceburkan diri dalam aktiviti ko-kurikulum tarian Melayu. Saya memasuki kelab tarian ini kerana minat saya yang amat mendalam terhadap tarian budaya saya. Tarian Melayu tidak sahaja mendekatkan diri saya kepada kebudayaan saya tetapi menjadikan saya gadis Melayu yang memang dikenali dengan kelembutan dan kehalusan gerak gerinya. Baru-baru ini, kelab tarian saya telah memasuki pertandingan SYF. Pertandingan ini adalah pertandingan tarian antara sekolah dan syukur teramat sekali kerana sekolah kami mendapat pingat emas dalam pertandingan peringkat nasional ini. Memang berbaloilah dengan segala latihan dan usaha yang kami telah lakukan. Jesicca tahu tak yang latihan untuk tarian SYF ini amat memenatkan sehingga setiap hari saya merungut kesakitan kaki dan badan. Namun saya cekalkan semangat kerana cikgu saya ada kata bahawa semua latihan ada manfaatnya kerana kita dapat mengasah bakat dan kebolehan kita. Di dalam kelab tarian, kita juga harus banyak bekerjasama dan berdikari. Contohnya, sesiapa yang tidak tahu langkah tari harus diajar bersama dan jika kita tidak tahu, haruslah bertanya dengan yang lebih tahu.

Saya rasa, saya sudah cukup memberitahu awak tentang aktiviti ko-kurikulum saya. Saya harap awak dapat sedikit sebanyak menceritakan kepada saya aktiviti ko-kurikulum awak pula.

Ikhlas daripada,
Ida Anafi.

Nursyahirah Rosman

2E2


Aduan tentang kerosakan lif.

Shaifulbahri Bin Abhar
Blk 38 Toa Payoh Lor 5
#13-475
Singapura 310038

21 April 2009

Ketua
Jabatan Premis Toa Payoh
Blk 272 Toa Payoh Central
#04-416
Singapura 3100272

Tuan

Perkara: Aduan tentang kekerapan masalah kerosakan lif.

Saya, Shaifuilbahri Bin Abhar (no i/c: S8938105F), ingin membuat aduan tentang kerosakan lif yang sering berlaku di Blok 38, Toa Payoh Lor 5. Saya ialah seorang pekerja pengangkutan barang-barang pindah dan juga merupakan penduduk di blok berkenaan. Saya berharap aduan saya dapat dipertimbangkan pihak berkuasa anda dengan secepat mungkin.

Pada hari Rabu lalu, saya ditugaskan untuk memindahkan barang-barang dari Ang Mo Kio ke blok yang saya diami. Pelanggan syarikat tempat saya bekerja secara kebetulan telah membeli sebuah rumah di sana. Maka itu, saya pun membuat kerja pemindahan yang diarahkan oleh majikan saya. Setiba di sana, tiba-tiba loceng kecemasan lif berbunyi. Masa itu juga skrin elektronik di luar lif terpadam. Rakan saya dengan segera menelefon talian kecemasan untuk melaporkan kerosakan. Hampanya kami apabila pekerja pembaikan lif itu mengatakan yang mereka hanya akan pergi membaiki lif tersebut pada keesokan harinya. Terus terang saya katakan, itu bukan kali pertama lif itu rosak kerana sudah lebih empat kali lif itu rosak pada tahun ini. Masalah kerosakan lif ini sama sekali menjejas waktu kami yang sedang bertugas. Apa tidaknya, kami berdua terpaksa mengangkat tiga almari besar dengan menaiki tangga setinggi lima tingkat. Kerosakan lif ini tidak sahaja menyusahkan lami tetapi juga menyusahkan penghuni blok yang berkerusi roda dan juga orang-orang tua. Memandangkan blok ini telah lama dibina, amat mengecewakan hanya ada sebuah lif sahaja bagi semua penduduk di blok ini. Bagaimana lif itu tidak sering rosak?

Dengan itu, saya ingin menyarakan agar pihak anda dapat membina sebuah atau mungkin dua buah lagi lif untuk menampung keperluan penggunaan penghuni blok ini. Lagipun dengan adanya lif lagi satu, penghuni berupaya menggunakan lif tersebut jika lif lagi satu rosak. Selain itu, pihak anda juga mungkin boleh melakukan pemeriksaan lig sekali setiap bulan supaya kerosakannya tidak menjadi lebih teruk. Jika kerosakan lif menjadi lebih teruk, pasti kerja pembaikan mengambil masa yang lama dan ini akan menjejas mutu kehidupan para penduduk.

Saya harap pihak anda akan melakukan sesuatu agar perkara ini jarang berlaku. Mungkin anda, boleh mempertimbangkan saranan saya tadi. Dengan ini, saya mengakhiri kata-kata saya dan salam sejahtera.

Yang benar,
Shaifulbahri Bin Abhar.

Nurul Ashiqin
3E2

___________________________________________________

Shaifulbahri Bin Abhar
Blk 38 Toa Payoh Lor 5
#13-475
Singapura 310038

21 April 2009

Ketua
Jabatan Premis Toa Payoh
Blk 272 Toa Payoh Central
#04-416
Singapura 3100272

Tuan

Perkara: Aduan mengenai kerosakan lif di Blok 38.

Saya, Shaifulbahri Bin Abhar, ingin melaporkan tentang masalah kerosakan lif yang sering berlaku di kediaman saya. Saya ialah seorang doktor dan sudah menetap di kawasan ini selama 10 tahun. Saya berharap aduan ini adan diambil serius kerana apa yang saya ingin ketengahkan ini, boleh menjejas reputasi pihak anda jika tidak diselesaikan masalah yang berlaku dengan secepat mungkin.

Pada hari Selasa lepas, saya baharu pulang daripada kerja apabila sekumpulan warga tua merungut kerana lif rosak lagi. Kes sebegini sudah berlaku beberapa kali tetapi nampaknya, tiada tindakan serius telah diambil oleh pihak anda. Dalam masa sebulan, lif di blok ini sudah enam kali rosak. Sekali dua, kedua-dua lif yang rosak. Naik berang saya dibuatnya kerana sehari suntuk bekerja, apabila pulang harus memanjat tangga sehingga tingkat 13 sebelum merehatkan badan di rumah. Masalah ini tidak sahaja berlaku kepada saya tetapi menular kepada penduduk yang lain, terutama sekali mereka yang berkerusi roda dan golongan warga emas. Kekerapan masalah kerosakan lif ini tidak sahaja menjejas mutu kehidupan para penduduk blok 38 tetapi juga mencerminkan kelewaan anda dalam menjalankan tugas. Lantas, ini juga menjejas reputasi Jabatan Premis Toa Payoh Central. Oleh itu, saya sarankan agar pihak anda membuat pemeriksaan lif setiap bulan supaya kes sebegini tidak berulang. Lebih baik juga jika pihak anda menukar sistem lif di blok kami.

Akhir sekali, saya meminta pihak anda untuk cepat-cepat menyelesaikan masalah ini dan juga mencari punca masalah ini. Saya yakin setelah akar permasalahan ini dikesan, ia tidak akan kerap timbul. Semoga pihak anda mengambil tindakan yang sewajarnya dan melaksanakan tanggungjawab anda sebagai ketua dengan lebih baik.

Yang benar,
Shaifulbahri Bin Abhar.

Siti Nabiilah Yusuf
3E3

Isnin, 20 April 2009

Sebuah cita-cita yang terpahat di dada.

Semua orang memiliki sebuah atau mungkin lebih cita-cita dalam hidupnya. Tidak semua orang mempunyai cita-cita yang sama. Kebanyakan orang bercita-cita mengikut ilmu yang telah dipelajari dan ada pula yang menambahkan ilmu semata-mata untuk mencapai cita-cita mereka selepas bergelar mahasiswa. Pegangan hidup saya adalah jangan mengalah sebelum mendapat apa yang dikehendaki dan sesudah mengecapinya, janganlah sombong dan lokek untuk menyumbang kepada orang lain.

Saya juga sama seperti mereka kerana saya mempunyai banyak cita-cita. Namun, hanya satu cita-cita yang benar-benar menarik minat saya. Ia adalah menjadi seorang pramugari. saya amat suka dengan pekerjaan itu kerana ia memberi peluang bagi saya menjelajahi dunia di samping memberikan cabaran sosial agar saya lebih ramah.Tidak semestinya pekerjaan pramugari ini tidak ada cabaran. Ini kerana kita kadang-kadang harus berdepan dengan kerenah penumpang dan juga bereaksi cepat pada waktu kecemasan seperti pesawat yang diserang pengganas ataupun mengalami masalah penerbangan. Selain itu, saya juga suka berbual dan berkenalan dengan orang yang berbagai bangsa. Dengan berbual, saya dapat mempelajari bahasa dan juga budaya mereka. Seronok betul dan pasti ibu saya berasa bangga dan gembira apabila saya mengkhabarkan kepadanya tentang tempat-tempat yang saya lawati apabila bertugas. Walaupun begitu, kadang-kadang saya terasa takut jikalau pesawat yang saya naiki itu akan ditimpa kemalangan. Mujurlah ibu dan kakak berkata bahawa saya harus berserah kepada Allah kerana hidup dan mati itu di tangan Allah. Saya tersenyum kerana semangat untuk menjadi pramugari masih berkobar-kobar di dalam dada.

Demi mencapai cita-cita ini, saya percaya yang saya harus belajar setinggi mungkin dan juga mempelajari sebanyak bahasa yang saya boleh. Jika kita tidak berpendidikan tinggi, kita tidak dapat menepati kriteria pendidikan untuk menjadi pramugari. Jika kita tidak mahir pelbagai bahasa, alamatnya susahlah hendak berbual dengan penumpang dari negara lain. Selain itu, perwatakan saya juga haruslah lemah-lembut dan bersopan santun. Saya tidak boleh mudah melenting apabila berhadapan dengan penumpang yang cerewet atau tidak bertimbang rasa Dengan belajar bersabar, ia tidak sahaja membahagiakan penumpang tetapi membuat saya menjadi manusia yang lebih baik dan disayangi ramai.

Saya amat berharap sekali ibu dan bapa saya merestui keputusan saya untuk menjadi pramugari. Tidak kisahlah syarikat penerbangan mana yang sudi mengambil saya kerana yang penting, saya dapat bekerja dan melancong. Tidak dapat dinafikan yang ia amat berat untuk mengejar cita-cita tetapi saya akan buktikan kepada semua yang saya mampu memikul tanggungjawab sebagai seorang pramugari. Cita-cita ini amat penting bagi saya kerana saya gemar melayan orang dan berbual-bual bersama orang dari pelbagai negeri. Saya ingin sekali dikenali sebagai seorang pramugari yang bersopan-santun sehingga mengharumkan nama syarikat penerbangan yang mengambil saya bekerja.

Noralisa Kambali
2E2
____________________________________________________________

Semua orang memiliki sebuah atau mungkin lebih cita-cita dalam hidupnya. Bekerja bersungguh-sungguh dengan ransangan daripada keluarga membuat mereka lebih yakin yang mereka berupaya mencapai cita-cita mereka. Impian, cita-cita dan keinginan yang positif adalah kunci kebahagiaan setiap orang di muka bumi ini.

Aku memiliki cita-cita yang lain daripada yang lain. Mungkin tidak sematerial atau sehebat cita-cita mereka yang ingin jadi doktor, presiden, atlit atau sebagainya tetapi cita-cita ini sama pentingnya. Aku mahu menjadi seorang suri rumah sepenuh masa. Untuk menjadi suri rumah yang baik di zaman ini tidak bermaksud yang aku harus mengabaikan pelajaran atau belajar setakat dapat sijil menengah sahaja. Aku harus belajar setinggi mungkin dan kalau boleh sampai di menara gading supaya aku dapat menjadi ibu yang bijaksana dan dapat mengajar anak-anak aku di rumah. Apabila mereka mengalami kesusahan untuk belajar, aku akan mengajar mereka sendiri dan tidak payahlah suami aku buang duit membayar gaji tutor. Lagipun kalau aku bijak, pastilah zuriat yang bakal dilahirkan sebijak ibunya. Selain itu, aku juga boleh mengambil kerja sambilan seperti mengajar tuisyen di rumah untuk membantu kewangan keluarga ketika ekonomi sedang gawat. Anak-anak boleh dijaga dan wang pun masuk. Pasti suami aku akan lebih sayang kepada aku.

Untuk menjadi seorang ibu yang baik, aku perlu belajar memasak dan juga menguruskan rumah tangga. Semua pekerjaan rumah harus dilakukan oleh aku supaya wang tidak terbazir. Anak-anak juga harus dididik dan komunikasi antara keluarga harus sering berlaku. Aku juga harus memiliki sifat-sifat yang sabar, tabah dan tidak mudah putus asa untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Aku percaya yang impian aku ini boleh dimanifestasikan sekiranya aku berani genggam bara api sehingga menjadi arang.

Harapan aku adalah semoga aku akan menjadi seorang isteri dan ibu yang baik. Di zaman moden ini, ramai ibu yang keluar bekerja sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka di rumah. Justeru, aku bertekad untuk menjadi suri rumah sepenuh masa demi kebahagiaan keluarga aku. Semoga Allah mengurniakan aku seorang suami yang baik dan beriman sebagai jodoh aku dan juga anak-anak yang soleh dan soleha. Amin.

Seri Zur Ain
2E2
___________________________________________________________________

Semua orang memiliki sebuah atau mungkin lebih cita-cita dalam hidupnya. Mungkin cita-cita seseorang terpupuk sejak mereka kecil lagi. Pada pandangan orang, menyapu sampah adalah pekerjaan yang kotor tetapi kepada orang lain ianya adalah sebuah impian. Itulah yang dkatakan rambut sama hitam, hati lain-lain. Namun begitu, untuk mencapai cita-cita itu seseorang haruslah memulakan strategi dari sekarang.

Aku ingin menjadi seorang pakar pediatrik. Aku telah lama berangan-angan untuk menjadi seorang pakar pediatrik sejak aku kecil lagi. Apabila aku bermain dengan adikku yang pada ketika itu masih lagi bayi, aku akan menggendongnya dan berpura-pura membuat pemeriksaan dengan permainan stetoskop aku. Ibu akan menegur aku apabila ternampak perbuatan aku kerana dia khuatir sekali adik akan terjatuh.

Aku ingin menjadikannya cita-citaku kerana aku teringat hari aku jatuh sakit dan harus dimasukkan ke hospital kerana demam panasku semakin teruk. Doktor yang menjagaku sangat baik, peramah dan sungguh cantik. Setiap hari, dia akan datang dengan senyuman yang lebar terukir di bibirnya. Aku rasa selesa di hospital kerana dia seorang yang penyayang dan peramah. Beberapa hari selepas aku dimasukkan ke hospital, aku telah menunjukkan banyak perubahan. Ketika aku sedang dalam perjalanan ke rumah, aku terlihat seorang anak kecil yang didukung oleh ibunya. Dia kelihatan sungguh sakit dan badannya sangat kurus. Ibunya hanya dapat menangis sambil melihat keadaan anaknya itu. Hampir tercurah air mata apabila melihat ibu dan anaknya itu. Semenjak itu, aku bertekad untuk menjadi pakar pediatrik kerana aku ingin menolong anak-anak yang perlu bantuan. Tidak mengapalah kalau aku tidak dibayar oleh siapa-siapa, aku hanya ingin menolong kanak-kanak yang di dalam kesusahan. Ada orang kata jika kita membantu dengan ikhlas, kepuasan di hati lebih berharga daripada wang yang banyak di tangan.

Aku akan bekerja keras untuk mendapat gred yang baik terutama sekali dalam mata pelajaran Sains. Aku akan membuat segala-galanya untuk menjadikan impian aku ini satu kenyataan dan bukan bayang-bayang. Pada pendapat aku untuk menjadi pakar pediatrik yang berjaya, aku haruslah bersopan-santun, baik hati dan harus mempunyai minat dan semangat yang kental. Cita-cita aku yang mulia ini akan aku julang sebagai obor yang menyinari kehidupan aku dan kehidupan masyarakat. Insya-Allah.

Nurulhuda
2E1
_______________________________________________________________

Semua orang memiliki sebuah atau mungkin lebih cita-cita dalam hidupnya. Apakah cita-cita aku? Aku teringin sekali untuk menjadi seorang atlit yang terkenal. Terkenal macam Fandi Ahmad, David Beckham dan ramai lagilah. Kalau terkenal pasti ramai orang suka dan aku akan menjadi kaya raya. Isteri aku juga mesti cantik seperti Wendy Jacobs dan Victoria Beckham. Namun, ibu dan bapa aku sering menanyakan soalan yang rumit tentang bagaimana aku hendak mencapai cita-cita aku dan apa yang akan terjadi sekiranya aku tidak boleh bermain bola lagi? Pening aku memikirkannya tetapi aku tidak salahkan mereka kalau mereka tidak menyokong kerana mereka pasti ingin apa yang terbaik untuk anak-anak mereka.

Aku sering memberitahu ibu bapa aku betapa berkobar-kobarnya keinginan aku untuk menjadi seorang pemain bola yang terkenal. Aku ingin bermain untuk negara dan mewakili negara dalam perlawanan bola antarabangsa. Kalau diizinkan Tuhan, aku mahu juga menjadi pemain bola Manchester United. Di sekolah, aku memasuki kelab bola sepak dan pernah mewakili sekolah dalam beberapa pertandingan. Aku tidak pernah terlepas daripada latihan dan jika tiada latihan, aku akan berlatih bersama kawan-kawan di padang. Bapa aku berkata jika aku ingin mengejar impian aku, aku juga harus rajin belajar selain daripada sering berlatih bermain bola sepak. Ini kerana jikalau aku lulus dalam peperiksaan dan mendapat markah yang bagus, aku boleh ke politeknik dan mengambil jurusan kesukanan.

Selepas mendengar kata-kata inspirasi bapa aku, aku berasa lebih bersemangat. Api cita-cita semakin bersemarak menjadi obor kehidupan aku. Dari hari itu, aku bekerja keras. Aku selalu cuba mendapatkan markah yang tinggi dalam pelajaran supaya aku berpeluang mendapat biasiswa kesukanan. Aku juga sering berlatih dan berusaha untuk mendapatkan tempat di dalam pasukan bola sepak sekolah aku. Kadang-kadang aku menonton YouTube untuk mempelajari teknik-teknik bermain bola dengan lebih baik.

Aku berharap agar Tuhan memberikan aku kesempatan untuk menjadikan pemain bola sebagai satu kerjaya. Cuma Tuhan sahaja yang tahu apa akan terjadi di masa depan dan aku pasti Dia akan membalas sebarang usaha yang telah dikerjakan oleh umatnya. Aku berdoa dan mulai mengorak langkah menuju ke destinasi cita-cita aku. Untuk menjadi seorang pemain bola pasukan Nasional, aku harus menghadiri sebarang sesi uji bakat yang diadakan. Aku juga tidak boleh berputus asa jika ditolak. Bakat yang ada di dalam diri ini tidak boleh disia-siakan. Semoga impian ini menjadi kenyataan di masa hadapan.

Zulkifli
2E2