Selasa, 28 Oktober 2008

Tabiat buruk.

" Apa? Tabiat burukku?" Aku memberikan senyuman sinis lalu menyedut air Coke yang sedap itu. Elynn, Sheila dan Suhana mengangguk-angguk kepala mereka dengan ghairah lalu menjingkitkan tubuh mereka mendekati aku. Tiga pasang mata yang bulat-bulat memandang aku seolah-olah ingin menerkam diriku. Aku perlahan-lahan menghembuskan nafasku lalu mengeleng-gelengkan kepala memikirkan tentang betapa anehnya kelakuan sahabat-sahabat baruku. Suka sangat menjaga tepi kain orang dan menyoal perkara yang pelik-pelik seperti warna baju apakah yang paling aku tidak suka pakai ketika tidur, sama ada aku suka menari di atas katil dan sekarang pula, tabiatku yang paling buruk.

" Hmmm..., tabiat aku yang paling buruk adalah memuntahkan semula makanan yang baru sahaja aku makan," aku berkata dengan tenang lalu menghincutkan bahuku seperti ia bukanlah sesuatu tabiat yang aneh.

" Apa???" Ketiga-tiga kawanku yang pelik itu menjerit kerana terperanjat dengan pendedahan aku. Malu aku dibuatnya sebentar kerana tiba-tiba, semua orang di katin itu memandang ke arah aku.

" Aku mengerutkan dahi aku kerana bingung dengan reaksi mereka. Kenapa Elynn, Sheila dan Suhana terperanjat? Buruk sangatkah tabiat aku? Lebih buruk daripada orang yang suka makan tahi hidung atau ambil dadah? Dahulu di sekolah lamaku, memuntahkan semula makanan yang baru dimakan adalah perkara yang lazim. Ramai pelajar di sekolah lamaku melakukannya untuk mendapatkan tubuh yang langsing dan menawan.

" Ifa, kau tahu tidak bahawa tabiat buruk kau itu dipanggil bulimia?"
" Tabiat itu tidak sihat!"
" Kau harus hentikan kerana jikalau tidak, kau boleh matilah."

Aku hanya menguap kebosanan mendengar amaran mereka. Dah mual aku mendengar kata-kata yang sama. Mereka ini berlagak seperti aku ini bodoh sangat kerana tidak tahu apa akibatnya. Aneh sekali sudah tiga tahun aku melakukannya dan tak mati-mati pun. Kalau aku tidak buat begini, takkanlah aku boleh bertubuh cantik dan takkanlah mereka ingin berkawan dengan gadis gemuk. Seperti teman-teman lamaku di sekolah dahulu, kami tidak hiraukan nasihat-nasihat yang basi utu. Bak kata pepatah, masuk telinga kanan dan keluar telingi kiri. Dengarkan ajalah untuk sedapkan hati mereka.

Keesokan harinya, aku dan teman-teman baruku telah pergi ke rumah Elynn untuk mengadakan sebuah pesta kecil. Pesta ini diadakan setahun sekali antara kami sahaja. Eksklusif dan bukan sebarang orang boleh ke pesta ini. Hanya yang popular, cantik dan bergaya sahaja yang boleh menghadirinya. Begitulah yang diterangkan oleh Elynn. Aku ikut sahaja asalkan aku dapat diterima. Ternyata rumah Elynn sangat sesuai untuk diadakan pesta sebegini kerana rmahnya yang besar dan gah serta bilik tidurnya yang menjadi idaman setiap gadis remaja. Walau bagaimanapun, aku rasa biliknya tidaklah sehebat bilik aku kerana bilik aku besar dan ada balkoni lagi. Kamar Elynn pun terbuka lalu mendedahkan pelbagai hidangan yang lazat-lazat di tengah-tengah kamarnya.

" Wah!" Aku terpegun dengan kek cawan yang bertingkat-tingkat, gula-gula kapas, gula-gula pudina, pancutan coklat dengan pelbagai jenis buah-buahan dan biskut mengelilinginya. Air Coke berbotol-botol dan Ya, Allah! Ayam goreng. Banyak lagilah bagaikan sebuah syurga. Aku sungguh teransang lalu tidak sabar untuk menikmati makanan yang lazat-lazat itu. Bagaikan orang dirasuk, aku menerkam segala apa yang ada untuk disumbatkan ke dalam mulut ini.

Seperti yang aku jangkakan, Elynn, Sheila dan Suhana terpaku melihat gelagat gelojoh aku. Mereka tidak sangka bahawa aku ini sebenarnya orang yang kuat makan. Aku tidak hiraukan mereka kerana bagi aku, yang penting adalah makan, makan dan makan. Nikmat sungguh rasanya coklat di lidah ini. Tiba-tiba, aku terasa mual dan kesal kerana makan terlalu banyak. Aku pun meminta diri untuk ke tandas tetapi dilarang oleh Sheila. Orang-orang ini betul aneh kerana hendak ke tandas pun tidak boleh. Suhana berdiri di depan tandas dengan kedua belah tangannya tercekak di pinggang.

" Tidak boleh Ifa. Aku tahu engkau hendak muntahkan semua makanan tadi," larang Suhana dengan tegas.

Elynn juga bergerak ke hadapan aku lalu berkata, " Tabiat engkau itu harus dihentikan."

Aku berdegil lalu menolak Elynn tetapi Sheila menarik tangan aku lalu mendudukkan aku di tepi katil. " Ifa, kau tau tidak yang jikalau engkau teruskan tabiat buruk engkau itu, kesihatan kau akan terjejas dan keselematan diri kau akan terancam."

Nampaknya mereka bersungguh-sungguh melarang aku. " Aku tidak akan matilah. Apa kamu semua merepek?"

Elynn menjawab, " Kami ada lihat tentang masalah bulimia dalam rancangan Tyra Banks. Ia merbahaya dan kami rasa engkau tidak perlu berbuat begitu."

Aku menguap. " Yalah kalau aku nak gemuk. Eh, tabiat aku ini perkara biasalah sebab ramai remaja yang buat."

" Dan ramai yang mati. Kalau kau masih berdegil, kita bertiga akan laporkan tabiat buruk engkau ini kepada pihak sekolah dan kami tidak mahu berkawan dengan engkau lagi," gertak Sheila.

Aku mengeluh. Hendak tak nak, aku terpaksa setuju dengan mereka dan berjanji tidak akan meneruskan tabiat buruk aku. Semenjak hari itu, ke mana sahaja aku pergi tidak keseorangan. Mereka mengawal pemakanan aku dan juga memastikan yang aku tidak ke tandas untuk memuntahkan apa yang aku telah makan.

Tidak aku sangka yang dua bulan kemudian, tabiat buruk aku hilang begitu sahaja dan aku kini lebih rasa sihat dan bermaya. Aneh tetapi aku rasa aku harus berterima kasih kepada ketiga-tiga teman baruku itu kerana mereka telah berjaya mengubah kehidupan aku.
Qurrah Shumar
3E2

Tiada ulasan: