Khamis, 14 Ogos 2008

Aduan tentang pengguna jalan raya- Cikgu Liza

Azri bin Ahmad
Blok 206 Seruling Crescent
#14-567
Singapura 750206

14hb Ogos 2008

Editor
Akhbar Sinar Pagi
21 Jalan Perkasa
Singapura 659840

Tuan,
Perkara: Aduan mengenai sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pengguna
jalan raya.

Salam sejahtera saya ucapkan pada pihak Tuan. Tujuan saya, Azri bin Ahmad, melayangkan surat ini adalah untuk mengemukakan beberapa isu keselamatan jalan raya yang semakin diremehkan pada akhir-akhir ini. Saya ialah seorang bekas polis trafik yang kini sedang menghabiskan usia persaraan saya menjaga cucu-cucu saya yang belajar di sekolah rendah. Kekhuatiran saya akan keselamatan cucu-cucu saya telah menguja saya untuk mengajukan keprihatinan saya kepada pihak media agar ia dapat menyedarkan masyarakat Singapura.

Dalam warkah ini, saya ingin mengetengahkan beberapa perkara yang amat membimbangkan. Oleh kerana malang tidak berbau, saya berasa bahawa sudah menjadi satu kewajiban bagi setiap insan untuk mengingatkan yang lain setelah kita sendiri mengalami beberapa ugutan kemalangan jalan raya.

Pertama, saya dapati semakin ramai pejalan kaki terutamanya golongan remaja yang sesuka hati menyeberang tanpa menggunakan kemudahan dan keselamatan lampu trafik. Dalam perjalanan saya menghantar cucu-cucu saya ke sekolah, saya dapati bahawa para pelajar sekolah menengah yang berdekatan langsung tidak menghiraukan keadaan jalan raya yang berpusu-pusu mengejar lampu merah. Beberapa kali, saya menyaksikan beberapa orang pelajar yang hampir dilanggar kerana kelalaian mereka sendiri. Hampir diserang sakit jantung saya dibuatnya. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini juga membimbangkan saya jika ada murid-murid sekolah rendah, yang tidak dihantar oleh orang dewasa, bakal mengikuti contoh merbahaya ini.

Kedua, sikap orang ramai yang tidak berjalan di dalam kotak lintasan ketika menyeberang. Bagi saya ini merupakan perbuatan yang amat merbahaya sekali kerana kotak lintasan bergaris putih terang ada tujuan keselamatannya. Garis putih itu bukan sahaja sebagai tanda had bagi pejalan kaki tetapi juga merupakan garisan had bagi para pemandu kenderaan untuk tidak melepasi garisan tersebut apabila lampu trafik berwarna hijau. Seandainya nasib tidak menyebelahi pejalan kaki yang melintas di luar had putih itu, pasti akan dilanggar oleh kenderaan yang cuba hendak berhenti di garisan putih itu. Lebih mengerikan lagi jika si pejalan kaki memotong jalan raya untuk mengejar lampu hijau lalu dilanggar oleh kenderaan yang dalam proses berhenti sebelum garis putih.

Ketiga merupakan masalah sikap para pemandu kenderaan yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Memang waktu pagi ialah waktu setiap orang berkejar untuk ke pejabat atau tempat kerja tetapi ini tidak bermaksud mereka harus mengabaikan keselamatan pejalan kaki dan juga diri mereka. Beberapa kali, saya nampak kenderaan pick-up dan motorsikal yang cuba memotong lampu merah atau mencuri-curi jalan antara para penyeberang jalan raya. Situasi ini menambahkan fobia saya untuk membiarkan cucu-cucu saya pergi ke sekolah sendiri. Sikap mementingkan diri sendiri hanya akan membawa lebih bahaya pada diri dan juga orang lain.

Di atas merupakan antara kebimbangan saya. Sikap mementingkan diri sendiri dan juga mengambil undang-undang keselamatan sambil lewa tidak patut dijadikan budaya harian kehidupan masyarakat kita terutama di kalangan remaja. Bagi saya, kemalangan jalan raya boleh dikurangkan jika semua mengambil langkah-langkah bertangungjawab. Saya rasa pihak sekolah boleh menggajikan penjaga jalan raya untuk memantau disiplin para pelajar dan murid di jalan raya berdekatan. Para majikan juga harus menitikberatkan pepatah ‘biar lambat asal selamat’ agar para pekerja menyedari kepentingan tanggungjawab di jalan raya. Akhir sekali, saya menyeru agar semua rakyat Singapura bersatu padu mengelakkan sikap kurang elok di jalan raya supaya kehidupan kita bukan sahaja aman dan damai tetapi terselamat daripada kecuaian dan sikap negatif diri kita sendiri.


Yang benar,
Azri bin Ahmad.

Tiada ulasan: