Rabu, 13 Ogos 2008

Remaja terlalu muda untuk mengenal erti cinta. Berikan pendapat.



Karangan 1


Cinta ialah perasaan yang boleh dirasai dan terlalu dalam untuk diungkapkan dengan kata-kata. Cinta hadir dalam diri seseorang tanpa diundang dan ia mengajar erti kasih-sayang, kebahagiaan, kesetiaan, pengorbanan, kejujuran dan tanggungjawab. Remaja pula ialah golongan yang berusia antara 13 hingga 20 tahun dan di situlah berlakunya proses pematangan. Cinta itu luas dan tidak semestinya hanya sesama kekasih. Semua golongan boleh mengenali apa itu cinta tetapi bukan erti cinta.

Pada usia belasan tahun, remaja masih perlu menumpukan perhatian dalam pelajaran kerana ia lebih utama. Mereka masih perlu mencapai cita-cita demi kehidupan pada masa hadapan. Cinta boleh menyebabkan seseorang asyik gila bayang dan mengurangkan konsentrasi ketika belajar. Hal ini seterusnya akan menyebabkan keputusan pelajaran merosot lalu mengugut kecemerlangan masa depan. Ibu bapa pula akan berasa kecundang dengan anaknya.

Selain itu, cinta remaja acap kali digelar sebagai ‘cinta monyet’ yang tidak berkekalan sehingga ke akhir hayat. Kata-kata cinta hanyalah bagaikan angin yang berlalu. Remaja bercinta hanya untuk mengisi waktu senggang dan bersuka ria. Ada pula membuat tafsiran yang salah tentang erti cinta lalu terjebak ke kancah kehinaan.

Dalam pada itu, remaja juga terlalu mentah untuk memikul tanggungjawab. Dunia cinta remaja hanyalah sekadar menghantar pesanan ringkas seperti ‘I love you’, makan angin dan memberi sesuatu pada hari-hari istimewa. Itu bukanlah erti cinta yang sebenar. Remaja baru setahun jagung untuk memahami erti bersatu dan sentiasa bersama dalam apa jua keadaan.

Di samping itu, remaja masih belum mampu menyara dirinya sendiri apatah lagi pasangannya. Mereka tidak mempunyai gaji dan pekerjaan yang stabil untuk menanggung perbelanjaan. Contohnya, teman lelaki tidak mempunyai wang sendiri untuk menguruskan makan minum kekasih. Takkan hendak bergantung kepada ibu bapa untuk bersuka ria dengan kekasih. Sungguh mengaibkan.

Konklusinya, sebagai insan biasa, setiap manusia pasti akan jatuh cinta tetapi remaja bukanlah usia yang sesuai. Seyogia, mereka haruslah menumpukan perhatian kepada pelajaran. Remaja tidak perlu mencari cinta sekarang untuk membina mahligai rumahtangga yang masih jauh lagi dari pandangan.

Sariha Abdul Sukkur
3E1
_____________________________________________________
Karangan 2

Cinta, istilah yang selalu bermain di minda setiap manusia. Perkataan ini seolah-olah sudah lazim kepada remaja-remaja sekarang. Bahkan, ia boleh menjebak para remaja ke alam rumahtangga apabila berlakunya kehamilan di luar nikah atau ditangkap basah oleh badan agama. Melalui kejadian-kejadian ini, ramai yang bertanggapan cinta remaja hanyalah cinta buta atau bermatakan hawa nafsu saja. Namun, apakah pandangan sebenar remaja-remaja sekarang terhadap cinta?

Remaja-remaja sekarang perlu bersikap positif terhadap cinta. Sikap positif ini bererti berterus terang dan menggunakan pengaruh yang positif dalam bercinta. Pengaruh positif yang dimaksudkan adalah mendorong satu sama lain dalam bidang pelajaran agar dapat mencapai cita-cita dan mendirikan rumahtangga yang kukuh kelak. Remaja juga wajar mengelakkan diri daripada melakukan hubungan seks atau perkara yang melanggar ugama kerana ini sama sekali bererti yang remaja tidak tahu menghormati pasangan mereka serta diri mereka sendiri.

Pada pandangan saya, remaja yang kini berada di peringkat usia ‘awal’ dewasa atau menjalani proses pematangan boleh merasakan alam percintaan. Lagi pun, bukankah cinta itu salah satu unsur kematangan dan disebabkan usia remaja adalah usia pembelajaran, mengapa tidak cinta menjadi sebahagian pengajaran hidup bagi remaja? Melalui cinta, remaja boleh merefleksi diri mereka iaitu sama ada mereka sudah matang atau pun masih keanak-anakan. Jadi tidak adillah untuk membanteras percintaan di kalangan remaja hanya kerana pada tanggapan orang dewasa yang remaja ini terlalu keanak-anakan untuk bercinta. Alasannya, lihat sahaja kadar penceraian orang dewasa atau telatah buaya darat sesetengah orang dewasa yang bersifat seperti anak remaja baru naik. Jadi, orang dewasa ini pun ada yang tak betulnya.

Lalu kesimpulannya, untuk mengatakan bahawa remaja terlalu muda untuk mengenal erti cinta tidaklah seratus peratus dipersetujui. Ini kerana secara semula jadinya, manusia semuanya sudah diperkenalkan erti cinta sejak kecil lagi atau sejak di dalam kandungan ibu. Jikalau Tuhan tidak membataskan pengetahuan kepada insannya, mengapa perlu manusia mendiskriminasi apa yang perlu dikenali dan diketahui oleh setiap manusia.

Muhd An-Naafi Bin Yusof
3E3

Tiada ulasan: