Rabu, 27 Ogos 2008

Surat Rasmi: Aduan tentang beberapa kelakuan kurang elok di Pesta Kugiran.

Moza Sendiawan
Blk 231, Toa Payoh Lor 8
#02-35, Singapura 310231
12 hb Ogos 2008
Editor
Forum Remaja
Singapore Media Holding
58 Toa Payoh North
Singapura 310058
Tuan/ Puan
Perkara: Aduan mengenai beberapa perlakuan buruk di Pesta Kugiran.
Saya, Moza Sendiawan, adalah salah seorang remaja yang telah menyaksikan sebuah pesta kugiran-kugiran remaja di Taman Belia, Orchard Rd. Pesta tersebut diadakan pada 11 hb Ogos, hari Sabtu dari jam 4 petang hingga 9 malam. Sebagai salah seorang peminat muzik tanah air, saya berasa bangga dengan adanya penampilan hebat daripada beberapa kumpulan muzik. Ini membuktikan bahawa masyarakat Singapura juga mempunyai bakat-bakat baru yang berpotensi untuk menjadi terkenal dan mengharumkan lagi arena kesenian Singapura.
Namun begitu, tujuan saya menulis surat ini adalah untuk mengetengahkan beberapa masalah yang terjadi di pesta itu. Walaupun secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dan terhibur dengan persembahan yang ada, saya juga agak prihatin akan beberapa kegenjotan yang timbul dalam suasana hangat malam itu.
Antara masalah yang membimbangkan saya adalah sikap sesetengah penonton pesta tersebut. Umumnya, pesta sebegitu mendapat perhatian utama para remaja dan tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah penonton yang mencacatkan suasana pada malam itu terdiri daripada remaja Melayu kita sendiri. Saya dapati remaja-remaja kita sering melontarkan kata-kata kesat tanpa segan silu. Ia seperti sudah sebati di hujung lidah mereka sehingga mereka tidak menghiraukan perasaan serta air muka orang lain. Terasa malu apabila beberapa remaja mengejek kumpulan-kumpulan yang tidak mereka gemari dengan kata-kata lucah, seolah-olah saya pun tergolong dalam golongan remaja yang kurang adab itu. Tidak cukup dengan kata-kata kesat, ada yang tergamak membaling botol-botol plastik ke pentas atau ke gadis yang mereka ingin sangat mendapatkan perhatian.
Selain itu, ada juga golongan remaja yang terdiri daripada pasangan kekasih telah bercumbu-cumbuan di depan khalayak ramai tanpa segan silu. Perbuatan ini amat kurang manis dipandang umum terutama sekali jika remaja itu sendiri beragama Islam. Ada juga di kalangan gadis bertudung yang tidak menghiraukan keadaan sekeliling lalu bermesra dengan intim bersama teman lelaki mereka. Ini tentu sekali bukan sahaja akan menconteng arang kepada nama Melayu tetapi juga imej masyarakat Islam bak kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Oleh itu, saya berharap sekali apa yang saya tuliskan ini dapat disampaikan dalam akhbar agar dapat memberi kesedaran pada semua umat Islam dan orang Melayu. Dengan mengetengahkan permasalahan ini, saya pasti kesedaran akan timbul dan mungkin solusi akan dapat dicari bersama untuk menangani gejala sosial ini. Mungkin juga pihak media boleh menulis sebuah artikel tentang kepentingan menjaga adab di tempat awam dan pesta-pesta kugiran. Selain itu, mungkin pihak media boleh menekankan kepentingan sikap tanggungjawab para penganjur untuk memperingatkan adab penonton ketika menonton sebarang persembahan.
Saya pasti dengan penglibatan masyarakat dan pihak media, kita boleh menangani masalah ini bersama dengan cara baik bagai menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tak berselerak. Akhir sekali, saya mohon maaf jika ada kata-kata saya yang mengguris perasaan.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Moza Sendiawan
Nur Syafiqah Samsudin
4N3

Tiada ulasan: