Isnin, 25 Ogos 2008

Senja kian merangkak pergi...

Senja kian merangkak pergi. Matahari perlahan-lahan memberi ruang kepada Sang Bulan menerangi kegelapan malam. Begitulah peraturan alam ciptaan Tuhan. Namun, segalanya berubah dengan hanya sekelip mata apabila seseorang yang amat aku sayangi dan harapkan dapat berada di sampingku sehingga aku dewasa, telah pergi meninggalkan dunia buat selama-lamanya. Harapanku hancur bagai kaca berderai terhempas ke lantai. Kini, aku tinggal sebatang kara. Kedua ibu bapaku telah lama meninggal dunia dua tahun yang lalu akibat kemalangan di jalan raya. Kemalangan yang meletupkan kenderaan yang dinaiki mereka telah meragut perlindungan dan tempat aku bergantung. Sekarang ini, nenek pula yang pergi. Apalah daya aku sebagai insan kerdil.

Air mata yang bertakung di kelopak mata mulai mengalir. Biji mataku amat merah sekali mencerminkan luka di sanubari. Aku sandarkan tubuh kecil dan layu ini ke tembok. Hatiku amat sebak sekali dan pedih seperti terkena sembilu yang tajam. Fikiranku tidak tenang dan waktu itu, aku bagaikan seseorang yang hilang akal kerana termenung jauh.

" Diana, bersabarlah nak. Haruslah kamu tabah kerana yang pergi tidak akan kembali, tetap akan pergi," kata jiranku, Makcik Ayu.

Aku tersentak daripada lamunanku. Tangan Makcik Ayu menepuk lembut bahuku. Aku tidak sedar bahawa orang ramai telah pum pulang daripada majlis pengebumian itu. Kini yang tinggal hanya diriku, kawan sekolahku dan Makcik Ayu. Dengan suara yang serak setelah meraung pemergian yang dikasihi, aku membalas lembut. " Diana hanya tinggal sebatang kara Makcik Ayu. Semua telah pergi tinggalkan Diana."

Aku terlalu emosi lalu menangis lagi. Aku tidak dapat menahan kesedihan ini. Fikiranku melayang ke malam sebelum pemergian nenek. Baru sahaja masuk ke dalam bilik nenek dengan dulang berisikan air suam dan ubat doktor, aku dapati nenek sedang tidur lena. Bila didekati untuk mengejutnya, badannya terasa lain dan nadinya tidak berdenyut. Aku terus menjerit nama nenek aku sekuat-kuat seperti ingin rohnya kembali ke jasadnya. Aku mendakapkan kepalanya ke dadaku. Begitulah perasaan aku, sedih bercampur terperanjat. Tiba-tiba gelap seluruh dunia dan yang aku ingat, hanyalah sekujur tubuh yang sudah dikafankan di dalam bilik nenek menjemput pandangan mataku. Terhidu bau kemenyan dan wangi-wangian bunga. Aku seolah-olah terlihat kelibat Allayarham bapa dan ibuku menjemput nenek yang berpakaian serba putih. Mereka kemudian saling bersenyuman kepada aku lalu hilang begitu sahaja. Adakah aku bermimpi atau aku berkhayal?

Tiba-tiba di hati ini tercuit rasa alangkah gembiranya aku jika mereka semua masih hidup. Betapa bahagianya aku jika mendapat segulung ijazah kejayaan dalam hidup dengan mereka sebagai saksi. Namun, kegembiraan yang aku ingini hanyalah tinggal angan-angan. Aku harus berdikari dan bersyukur kepada Tuhan bahawa mereka sudah berada di samping Tuhan. Lembaran di dunia yang pancaroba sudah berakhir. Kini masa aku, aku tidak boleh menderita dan meraung pemergian mereka buat selama-lamanya. Perjalanan hidup aku masih panjang dan aku akan tetap bertungkus lumus mendapatkan ijazah di menara gading. Perlahan-lahan aku mengorak semangat dalam hati ini dan berdoa agar Allah membimbing aku serta mengampunkan dosa-dosa ibu bapa aku dan nenek aku serta masukkan merteka dalam golongan orang yang beriman.
Amin.

Sharifah Nur Farhana
4N3
_________________________________________________________
Senja kian merangkak pergi. Matahri menghilang perlahan-lahan memberi ruang kepada Sang Bulan menerangi kegelapan malam. Begitulah peraturan alam ciptaan Tuhan. Namun semua itu tidak dihiraukan abang aku. Bagi aku kehidupan yang sekali ini perlu dimanfaatkan dengan menjadi khalifah seperti yang tercatat dalam Surah Al-Baqarah ayat 30 tetapi abangku lebih mengisinya dengan kemungkaran.
Abang tidak pernah sekali pun membuat kerja yang dapat membantunya di akhirat nanti. Dahlah tikar sembahyang tidak pernah dicium, hendak membahagiakan keluarga jauh sekali. Abang lebih senan membuat perkara yang mengaibkan dirinya sendiri serta nama baik keluarga. Walaupun abang tahu akan jerih payah emak membesarkan kita semua, dia tidak sedar di dalam hatinya sehingga tergamak dia menconteng arang ke muka emak. Ayah? Ayah langsung sepertia tiada gunanya dalam keluarga kerana tidak pernah menguruskan keluarga. Malah, membantu emak pun tiada langsung. Bagaikan tunggul kayu yang tiada gunanya tetapi hanya mencukupi syarat adanya ayah dalam semua bentuk keluarga yang norma.
Aku jelas sekali adalah seorang anak daripada sebuah keluarga yang sederhana. Emak berkerja bagai pipit pekak makan di hujan setiap pagi hingga petang. Itu pun bagaikan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Abang yang baru menamatkan perkhidmatan negara itu seperti mengikut perangai buruk ayah. Mungkin ada benarnya mana lagi kuah hendak tumpah kalau tidak ke nasi. " Kenapa kau sanggup buat emak begini?" kata emak dengan penuh kehampaan apabila ternampak badan abang dikotori tatu.
Tanda tanya besar dilemparkan emak tetapi abang hanya terdiam bisu, begitu juga kami adik beradik di dalam bilik. Di hati emak, entah apa kurangnya atau khilafnya didikan yang selama ini dia berikan sehingga abang sanggup melanggar perintah agama.
Pada saat dan detik itu, aku berjanji pada diriku ini bahawa aku tidak akan pernah mahu mengecewakan emaka. Emak adalah wanita yang kuat dan tabah menghadapai segalanya. Dia tidak pernah merungut dan menyimpan masalah di dalam hati kerana tidak mahu memukul canang menghebohkan aib keluarga. Kekecewaannya hanya diluahkan dengan linangan air mata yang membasahi sudut bantal setiap malam. Mana mengenangkan nasibnya mempunyai suami yang tidak bertanggungjawab dan kini, anak lelakinya yang perlahan-lahan terpesong dalam arus kesesatan. Kasihan emak. Andai satu hari dia pergi, pasti aku akan terasa sekali kehilangannya kerana dialah tongkat kehidupan kita adik-beradik.
Aku mengesot ke sebelah emak lalu aku sisipkan sebuah kad buatan sendiri. Dalamnya tersurat kata-kata yang aku harap dapat menenangkan hati emak. Emak, aku hanya ingin engkau tahu bahawa engkau adalah wanita ciptaan Tuhan yang paling sempurna walaupun kehidupanmu tidak sempurna. Walaupun ayah tidak menghiraukan kami, engkau tidak mengikut tindakan ayah dan sebaliknya engkau mencapai taki kemudi dan memikul tanggungjawab berat ini seorang diri. Hanya Tuhan yang mengetahui betapa terhutang budinya kami terhadap emak. Emak, aku janji yang aku akan membuat kamu sebagai seorang wanita yang paling bahagia pada suatu hari nanti. Doakan aku ya emak dan usahlah engkau menangis lagi. Lantas aku mengucupi dahi emak yang sedang lena dibuai mimpi.
Siti Syakilla Othman
4N3

Tiada ulasan: